19 Disember 1941 - 31 Januari 1942 Pendudukan_Jepun_di_Malaya

Tentera Jepun mara ke selatan dan menawan Ipoh pada 26 Disember. Penentangan sengit terhadap kemaraan Jepun dalam Pertempuran Kampar berlangsung selama tiga hari dan tiga malam antara 30 Disember 1941 sehingga 2 Januari 1942, sebelum Tentera British terpaksa berundur. Pada 7 Januari 1942, dua pasukan Briged India Tentera British dipintas dalam Pertempuran di Slim River yang memberikan tentera Jepun laluan mudah ke Kuala Lumpur, ibu negara Tanah Melayu. Pada 9 Januari, kedudukan pasukan British semakin terdesak dan Komander Jeneral Wavell memutuskan untuk mengundurkan keseluruhan Tentera British ke utara Johor, dan meninggalkan Kuala Lumpur yang ditawan tentera Jepun pada 13 Januari.

Barisan pertahanan British ditubuhkan di utara Johor antara Muar di barat sehingga Segamat, dan kemudiannya sehingga Mersing di sebelah timur. Briged Ke-45 ditempatkan di bahagian barat antara Muar dan Segamat. Pasukan Australia ditumpukan di tengah-tengah dan maju ke utara dari Segamat ke Gemas di mana mereka bertembung dengan pasukan tentera Jepun yang sedang mara pada 14 Januari 1942.

Pada 15 Januari, Divisyen Ke-15 yang merupakan pasukan tentera utama Jepun, tiba dan memaksa pasukan Australia berundur kembali ke Segamat. Tentera Jepun kemudiannya mara ke arah barat menuju ke arah Briged India Ke-45, dan dengan mudah mengalahkan mereka yang tidak berpengalaman dan masih mentah. Pihak British mengarah Batalion Ke-19 dan Ke-29 ke barat, dan batalion Ke-19 bertempur dengan pihak Jepun pada 17 Januari 1942 di selatan Muar.

Pertempuran berlanjutan sehingga 18 Januari, dan di sebalik cubaan Batalion Ke-19 dan Ke-29, Garis Pertahanan Johor roboh. Pihak Berikat terpaksa berundur menyeberangi Tambak Johor ke Singapura. Menjelang 31 Januari 1942, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke dalam tangan Jepun.[2]